Isu BIM-KTBM : Kebenaran Yang tersirat (Siri 3)

Posted by Al-Firdausi | Posted in

9

(sambungan dari "Isu BIM-KTBM : KTBM dalam P&P (Siri 2)" )

  1. Seperti yang saya katakan dalam perenggan kedua dalam siri 1, berbincang (muzakarah) lebih baik dari berdebat. Berdebat hanya menegakkan benang yang basah umpama mengatakan sesuatu yang baik adalah buruk, sesuatu yang buruk tu baik. Masing-masing hanya mahu mempertahankan pegangan yang di ikuti, hati seolah-olah tertutup. Sudah pasti tiada penyelesaian yang boleh dicapai. Inilah yang berlaku terhadap isu BIM-KTBM.

  2. Apakah yang kebenaran yang tersirat di dalam isu BIM-KTBM?

  3. Fakta mengatakan BIM membuat BM pelajar lintang pukang adalah salah, BIM merupakan sejenis Bahasa seperti 10,000 bahasa di dunia. Sudah tentu ia tidak boleh diterjemah secara terus ke dalam BM seperti mana BM dengan BI.

  4. Mengikut tulisan Sazali dalam blognya, BIM tidak pernah masuk ke dalam Sekolah Pendidikan Khas adalah tidak benar. Seperti diketahui, BIM merupakan natural language yang dituturkan secara semulajadi oleh orang pekak mengikut faktor budaya dan geografi. Isyarat tangan dalam BIM dicipta secara spontan mengikut imaginasi ketika berkomunikasi. Sepanjang pengalaman saya belajar di sekolah rendah dan menengah pendidikan khas guru-guru sendiri menggunakan BIM ketika berbual-bual dengan pelajar dan ketika menerangkan sesuatu topik yang diajar. Ketika bersembang sudah pasti pelajar pekak menggunakan BIM. KTBM hanya digunakan dalam P&P BM (kadangkala diselitkan dengan BIM). Ini di sahkan sendiri oleh hisham dan amir hamidi dalam blognya. Mungkin apa yang dikatakan oleh sazali berkenaan 'diharamkan' hanyalah isyarat tangan BIM yang dikamuskan oleh MFD tidak boleh diguna di sekolah (sebenarnya banyak juga isyarat dalam Buku BIM terbitan MFD diguna oleh para guru disebabkan selalu 'meniru' dan 'mengajuk' isyarat yang digunakan oleh pelajar mereka ketika berinteraksi samada bersembang, bergurau dan juga ketika mengajar. Ia lebih ketara di kalangan guru baru yang mula hendak menguasai Bahasa Isyarat)...

  5. Isu kecil dalam KTBM-BIM adalah percanggahan isyarat tangan bagi perkataan yang sama. Isyarat yang di cipta sendiri oleh BPKhas tidak sama dengan isyarat yang dicipta spontan oleh orang pekak walaupun mempunyai makna/maksud yang sama.

  6. Penentangan sebenar BPKhas terhadap BIM bukanlah disebabkan salah faham terhadap BIM. Saya dengan dua orang pekak yang juga bekerja di BPKhas tiada sebarang halangan bersembang menggunakan BIM. Malah ketika berbual dengan beberapa pegawai di BPKhas juga menggunakan BIM (sekali-sekala beberapa isyarat KTBM diselitkan). Saya juga tidak pernah dengar terdapat arahan dan pekeliling melarang para guru menggunakan BIM ketika mengajar. Beberapa orang pegawai BPKhas merupakan bekas guru Pendidikan Khas yang telah naik pangkat, mereka sudah tentu juga pernah menggunakan BIM ketika mengajar di sekolah. Jadi apakah sebabnya BPKhas menentang?

  7. Hasil pemerhatian sepanjang bekerja di BPKhas, penentangan terhadap BIM mungkin disebabkan faktor 'pelaksanaan' dan 'perubahan' terhadap P&P di sekolah pendidikan khas. Jika Isyarat Tangan dalam KTBM digantikan dengan isyarat tangan dalam BIM, pasti memerlukan kos untuk menggantikan kamus KTBM yang telah diterbitkan dan juga terpaksa merangka P&P yang baru. Sudah pasti akan membuatkan beban BPKhas bertambah untuk menyediakan permohonan peruntukan tambahan dari Kementerian pelajaran dan juga merangka kursus serta bengkel yang baru untuk para guru Sekolah Pendidikan Khas. Siapa yang suka menambahkan lagi kerja dan beban sedia ada....

  8. MFD mempunyai sekolah kanak-kanak pekak selangor (SSD) yang boleh dikategori sebagai sekolah persendirian (Swasta). Tidak banyak maklumat mengenai SSD yang saya ketahui. Andai Sazali yang merupakan Presiden MFD menyalahkan KTBM sebagai punca kegagalan pelajar pekak dalam pelajaran. Sebagai sebuah sekolah swasta, Kenapa MFD tidak menggunakan BIM sepenuhnya di SSD? Sebagai sebuah sekolah swasta, MFD bebas merangka dan menentukan P&P asalkan matapelajaran mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan kementerian pendidikan. Tunjukkan bukti bahawa BIM dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajaran melalui sekolah SSD.

  9. Andai BPKhas dipersalahkan terhadap kegagalan pelajar di sekolah Pendidikan Khas. Jadi siapa pula yang harus dipersalahkan terhadap kegagalan pelajar di sekolah SSD? Pencapaian pelajar di sekolah mana yang lebih baik dalam UPSR, pelajar di sekolah Pendidikan Khas atau pelajar sekolah SSD? Ada siapa boleh jawab?

  10. Kalaulah MFD dapat merombak sekolah SDD, wajibkan para guru mengajar menggunakan BIM, rangka kaedah P&P berdasarkan BIM dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih tinggi pencapaian berbanding sekolah pendidikan khas dalam UPSR - sudah pasti akan membuka mata BPKhas dan membuktikan keberkesanan BIM.

  11. Pemimpin dan aktivis pekak yang memperjuangkan BIM ketika berbual dan berucap menggunakan beberapa isyarat yang berasal dari KTBM seperti isyarat 'atau', 'dan', 'baik' dan banyak lagi.

(Bersambung ke "Isu BIM-KTBM : Cara yang terbaik untuk mengajar BM - BIM, KTBM atau...?")

Glosari :-

BIM = Bahasa Isyarat Malaysia
KTBM = Kod Tangan Bahasa Melayu
P&P = Pengajaran dan Pembelajaran
BPKhas = Bahagian Pendidikan Khas
BM = Bahasa Melayu
BI = Bahasa Inggeris
MFD = Persekutuan Orang Pekak Malaysia
SSD = Sekolah kanak-kanak pekak Selangor (bawah seliaan MFD)


******************************************************
* "mengkritik tidak bererti menentang, *
* menyetujui tidak semestinya menyokong, *
* menegur tidak bermakna membenci, *
* dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik." *
******************************************************

Isu BIM-KTBM : KTBM dalam P&P (Siri 2)

Posted by Al-Firdausi | Posted in

0

(sambungan dari ISU KTBM-BIM : Pengenalan dan BIM (Siri 1) )

  1. Dalam artikel sebelum ini saya ada menerangkan serba sedikit mengenai BIM. Bagaimana pula dengan KTBM?

  2. Seperti yang diketahui, KTBM merupakan satu kaedah komunikasi yang menuturkan setiap patah demi patah perkataan vokal BM ke dalam kod tangan. KTBM merupakan kaedah komunikasi dalam P&P yang diterap oleh JPK dan wajib di gunakan oleh para guru di sekolah Pendidikan Khas ketika mengajar. Ia bukanlah satu jenis bahasa, tetapi hanyalah menggantikan setiap sebutan vokal kepada sebutan isyarat tangan.

  3. Beberapa individu pekak mempertikaikan KTBM atas alasan ia adalah bukan syarat natural yang tercipta secara spontan, tapi ia dicipta dan digubal sendiri oleh pihak JPK. Kod tangan yang dicipta oleh JPK tidak menunjuk gambaran terhadap makna tersebut boleh difahami melalui imaginasi terhadap kod/isyarat tangan yang ditunjukkan. Kelemahan ini kadang-kala menimbulkan kekeliruan terhadap pelajar pekak dimana sesetengah kod tangan tersebut mempunyai makna yang lain dengan imaginasi yang dilihat melalui bentuk kod tangan tersebut.

  4. Bagi memastikan pelajar pekak menggunakan sepenuhnya KTBM dalam seharian, setiap tahun pihak JPK dan sesetengah sekolah Pendidikan khas menganjurkan pertandingan bercerita, deklaminasikan puisi, dan lain-lain dimana markah diberi terhadap penggunaan KTBM yang betul.

  5. Penggunaan KTBM agak meletihkan disebab setiap patah perkataan vokal di tukar kepada kod tangan yang panjang. Misalnya perkataan "Mempermainkan" ada 4 isyarat yang harus dibuat iaitu "mem", "per", "main" dan "kan". Berbanding dengan BIM, cuma 1 isyarat tangan sahaja. Mana lebih senang? menyebut "tidak ada" atau "tiada"? menyebut "tidak hendak" atau "tak nak"?

  6. Kelebihan KTBM yang tidak dapat dinafikan ialah isyarat tangan KTBM adalah lebih banyak berbanding BIM. Ini adalah kerana beberapa ketika dahulu BPKhas sering mengadakan program yang dihadiri beberapa guru untuk mencipta isyarat baru bagi memastikan setiap perkataan dalam BM mempunyai isyarat tangan untuk memudahkan P&P.

  7. Kelebihan ini banyak membantu para guru ketika mengajar dimana mereka tidak perlu membuang masa mengeja perkataan-perkataan yang tidak mempunyai Isyarat Tangan.

  8. Kelebihan KTBM merupakan kelemahannya juga, mencipta isyarat tangan ciptaan sendiri sehingga mengabaikan imaginasi terhadap makna yang boleh diserap melalui bentuk dan pergerakan tangan tersebut. Bagi mereka, sudah cukup sekiranya sesuatu perkataan dapat diberi isyarat tangan yang unik.

  9. Perlu di ingat, mendengar dengan telinga tidak sama dengan melihat dengan mata. Melihat dengan mata lebih mengutamakan Imaginasi.....

(Bersambung ke "Isu BIM-KTBM : Kebenaran Yang tersirat (Siri 3)")

Glosari :-

BIM = Bahasa Isyarat Malaysia
KTBM = Kod Tangan Bahasa Melayu
P&P = Pengajaran dan Pembelajaran
BPKhas = Bahagian Pendidikan Khas
BM = Bahasa Melayu
BI = Bahasa Inggeris


******************************************************
* "mengkritik tidak bererti menentang, *
* menyetujui tidak semestinya menyokong, *
* menegur tidak bermakna membenci, *
* dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik." *
******************************************************

ISU KTBM-BIM : Pengenalan dan BIM (Siri 1)

Posted by Al-Firdausi | Posted in

0

  1. Agak menarik untuk membincangkan topik ini memandang isu yang akan dibincangkan ini terlalu umum dan mempunyai pelbagai tafsiran mengikut pelbagai pandangan dari sudut yang berlainan. Lain sudut kita berdiri, lain pandangan yang kita lihat. Saya juga tidak terkecuali.

  2. Sebelum menulis artikel ini, saya telahpun membaca tulisan Sazali, Amir dan juga Hisham mengenai isu ini. Ketiga-tiga mereka mempunyai ulasan sedikit sebanyak bercanggah lantaran mereka melihat isu ini dari sudut yang berlainan. Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan analisis dan pandangan terhadap tulisan tulisan 3 orang di atas dan juga pengalaman saya sepanjang bergelar pelajar di sekolah rendah dan menengah yang mendapat pendidikan khas. Sebelum itu saya ingin tegaskan, tulisan saya ini bukan untuk menyanggah pendapat mana-mana pihak (berdebat). Tetapi adalah sekadar perbincangan bersama (muzakarah). Berdebat hanya membuat EGO kita cuba menegakkan benang yang basah.

  3. Isu BIM dan KTBM mempunyai persoalan pokok yang sama - Implikasi Penguasaan Bahasa Melayu dan pemahaman dalam pembelajaran di kalangan orang pekak.

  4. Tidak sukar bagi saya untuk memahami pandangan para 'guru berpangkat tinggi' di Bahagian Pendidikan Khas (sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Khas) kerana saya pernah bekerja di situ sebagai kakitangan kontrak sebelum bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sepanjang bekerja di sana, ada beberapa kali mereka berbuka cerita berkenaan isu BIM dan KTBM ketika makan semeja.

  5. Di Mengikut tulisan Presiden MFD, pihak BPKhas menyalahkan BIM sebagai punca kegagalan pelajar pekak dalam penguasaan Bahasa Malaysia. Ini saya tidak nafikan sebab memang inilah apa yang dikatakan berulang-ulang kali oleh orang di BPKhas kepada saya ketika bekerja di sana. Persoalannya, benarkah mitos BIM merosakkan bahasa melayu di kalangan orang pekak seperti yang di tuduh oleh BPKhas?

  6. Seperti yang dimaklumi, BIM adalah satu sistem komunikasi bebas yang menggunakan gabungan isyarat tangan, badan dan memek muka untuk merujuk sesuatu makna. Berlainan dengan KTBM, BIM mempunyai struktur bahasa tersendiri. BIM tidak terikat peraturan susunan ayat kerana BIM bebas untuk dituturkan mengikut susunan ayat sendiri. Setiap orang mempunyai susunan ayat tersendiri dan unik untuk menuturkan isyarat tangan. Inilah membezakan identiti individu orang pekak dengan individu pekak yang lain. Ia tidak sedikitpun menjejaskan penyampaian maksud yang hendak disampaikan.

  7. Fakta mengatakan BIM tiada struktur tatabahasa adalah tidak tepat. MEMEK MUKA ketika menuturkan sesuatu isyarat itulah merupakan tatabahasanya. Bagi saya, memek muka merupakan kata imbuhan bagi BIM. Dalam Bahasa Melayu, Imbuhan "Men....i" (cth : menyayangi, Mencintai ) menunjukkan perasaan. Bukankah memek muka ketika membuat sesuatu isyarat juga menunjuk perasaan. Begitu juga bila kata dasar TUMBUK menggunakan imbuhan "Men" dan "Ter" menunjukkan perbuatan sengaja dengan tak sengaja. Imbuhan ini juga ada dalam BIM, 'menumbuk' dituturkan dengan cara membuat isyarat tumbuk ke depan sambil memandang orang yang hendak ditumbuk. Manakala 'tertumbuk' pula dituturkan dengan cara menumbuk ke depan tetapi kepala memandang ke tempat lain, bukan ke tempat yang hendak ditumbuk tersebut. Jadi siapa kata BIM tiada struktur bahasa (tatabahasa)? ia cuma agak berlainan sedikit..

  8. Jesteru itu, BIM merupakan satu jenis bahasa komunikasi yang mempunyai tatabahasanya sendiri yang tidak boleh diterjemah secara terus. Menyalahkan BIM yang menyebabkan BM orang pekak lintang pukang samalah seperti menyalahkan BM kalau BI pelajar normal lintang pukang. Seperti yang dikatakan sazali dalam Blognya - "Mereka lupa kalau ayat BM ini "jalan-jalan makan angin" di tuliskan terus dalam English akan menjadi "walk-walk eat air".

  9. Satu-satunya kelemahan BIM ialah tidak mempunyai isyarat tangan bagi beberapa perkataan dalam BM atau BI. Kelemahan ini biasanya ditutup dengan mengeja perkataan tersebut. Namun kelemahan bukan satu isu, bukankah banyak perkataan BI tiada dalam BM?

(Bersambung ke "Isu BIM-KTBM : KTBM dalam P&P")

Glosari :-

BIM = Bahasa Isyarat Malaysia
KTBM = Kod Tangan Bahasa Melayu
P&P = Pengajaran dan Pembelajaran
BPKhas = Bahagian Pendidikan Khas
BM = Bahasa Melayu
BI = Bahasa Inggeris


******************************************************
* "mengkritik tidak bererti menentang, *
* menyetujui tidak semestinya menyokong, *
* menegur tidak bermakna membenci, *
* dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik." *
******************************************************